Hala Tuju Guru Besar 2009


gb

 

Menurut kata Wilson dan Corcoran ( 1988 ), segala kejayaan dan kegagalan pelajar terletak kepada pihak sekolah, iaitu pengetua dan guru. Kepemimpinan pengetua pula dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial ( iklim ), atau budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik pelajar ( Rutter et al,1979).

Fiedler dan Garcia ( 1987 ) mengatakan “Kualiti kepimpinan ialah salah satu faktor penting bagi menentukan kejayaan dan kewujudan kumpulan dan organisasi. Sungguhpun teknologi memainkan peranan penting dalam keadaan tertentu, namun kepemimpinan yang berkesan sering kali menggantikan kekurangan kelengkapan dan sumber. Keperluan kepemimpinan yang berkesan sentiasa ada dan amat dihargai”. Begitu penting peranan yang dipikul dan dimainkan oleh seseorang pemimpin di sekolah, iaitu guru besar / pengetua.

Kecemerlangan sekolah adalah berkait rapat dengan ketokohan Guru Besar sekolah berkenaan. Kebolehan dan keupayaan mereka mengurus sekolah telah menyebabkan organisasi tersebut kelihatan kemas, bersih, tersusun dan mempunyai iklim dan budaya yang baik. Di samping itu, guru-guru dan murid kelihatan gembira, ceria dan suka belajar di sekolah serta bangga dengan sekolah mereka. Dalam masa yang sama, pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah muridnya sentiasa baik dan cemerlang.

Kepimpinan seharusnya dikaitkan dengan visi, misi dan nilai, sementara pengurusan lebih kepada yang berkaitan dengan proses, aktiviti dan struktur. Dengan kata lain saya percaya, kepimpinan merupakan aspek penting yang menentukan kejayaan sekolah dan pengurusan adalah proses yang membantunya mencapai kejayaan tersebut. Sebagai seorang ketua pengurusan pendidikan di sekolah, saya hendaklah berupaya menunjukkan kaedah dan cara, bagaimana mencapai visi sekolah dapat direalisasikan dengan menggunakan semua pengetahuan dan kemahiran yang ada, sumber dan prasarana yang tersedia di sekolah dapat digunakan ke tahap paling optimum dan berkesan.

Sikap adalah penentu gerak-laku setiap insan; penentu kepada tanggapan dan perlakuan individu dalam interaksinya setiap hari. Sikap yang positif akan melahirkan tingkah-laku yang positif, begitulah seterusnya dalam seluruh kehidupan seseorang itu sama ada dalam kehidupan peribadinya mahu pun dalam kehidupan kerjayanya. Disiplin adalah ciri amat penting yang mampu meletakkan seseorang itu sebagai orang yang berjaya atau sebaliknya. Orang yang berdisiplin kendiri yang tinggi tidak perlukan kawalan dari luar, ia mampu mengurus dirinya, terutama sekali mengurus kerjanya ke tahap yang paling tinggi dan berkualiti, malah peraturan dan undang-undang tidak pernah ‘membebankan jiwa dan raga’. Sebagai Guru Besar, seseorang itu harus pula mampu menjadi ‘suri teladan’ kepada seluruh guru dan anak didiknya di sekolah. Yang paling penting seseorang Guru Besar mesti sentiasa mengamalkan ‘Cakap Serupa Bikin’ ( Walk Your Talk ).

Dalam menggerakkan warga organisasi di sekolah terutama guru-guru, Guru Besar hendaklah pula memiliki ciri ‘assertiveness’ yang berhemah supaya unsur-unsur kelemahan dari aspek masa, tenaga dan kewangan tidak mengheret organisasi kepada kegagalan melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dalam hal ini saya meletakkan kepentingan organisasi di atas kepentingan individu atau kumpulan. Kepada guru-guru saya jelaskan konsep ini sejelas-jelasnya iaitu organisasi sekolah hendaklah menjadi sebuah organisasi yang cemerlang dan gemilang. Organisasi yang cemerlang dan gemilang mestilah mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti, yang pada akhirnya terletak di atas batu jemala orang yang bergelar Guru Besar. Prinsip yang saya pegang ialah ” The first rule of leadership, everything is my fault.”

Melalui prinsip ini saya ‘tidak cepat menyalahkan guru-guru saya’ di atas sebarang kelemahan dan kesalahan yang terjadi; saya fikirkan balik apakah tidak saya sendiri telah sama-sama ‘bersalah’ kerana tidak mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi sebarang kemungkinan kegagalan sesuatu urusan atau program itu.

Dalam aspek menjadi ‘contoh teladan’ ini saya lakukan perkara-perkara yang sangat biasa tetapi bagi kebanyakan orang ( kalangan guru besar khasnya) menganggap apa yang saya buat sebagai tak perlu dan ‘bodoh’. Saya datang awal pagi dengan tujuan guru-guru saya juga akan terdorong datang pagi dan bersedia untuk proses pengajaran dan pembelajaran dengan tenang dan teratur. Saya tulis Buku Rekod Persediaan Mengajar saya dengan tujuan guru-guru saya tidak akan menanggap saya ‘seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul’, dan saya masuk mengajar seperti guru-guru saya juga dengan tujuan saya diiktiraf bukan sahaja seorang Guru Besar (yang profesional) tetapi yang paling utama bagi saya, ‘saya seorang guru’.

Dalam aspek pengurusan masa saya pastikan semua aktiviti sekolah dijalankan tepat pada waktunya; loceng pertama sekolah diset berbunyi pada 7.15 pagi setiap hari; mesyuarat guru dan taklimat khas mingguan atau mesyuarat jawatankuasa kurikulum dimulakan tepat pada waktunya; pendek kata semua program dan aktiviti seperti yang ditetapkan dalam Takwim Sekolah mestilah dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya.

Menjadi teladan yang baik adalah penting bagi seseorang Guru Besar itu dalam mendorong atau ‘memotivasikan’ guru-guru. Selaku Guru Besar perkara-perkara ‘fundamentals’ melibatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terutamanya penguasaan kemahiran murid-murid Tahap Satu hendaklah dianggap sebagai satu ‘mission impossible’ yang mesti ditunaikan kepada tahap paling maksimum. Saya sentiasa menekankan dan mengutamakan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan sepenuh jiwa dan raga, sepenuh daya dan tenaga. Guru-guru sering diingatkan bahawa ‘masa tidak menanti kita’ dan masa yang ‘hilang’ tidak mungkin dapat diganti.

Sebagai guru besar di SJK( C ) Foon Yew 2, saya berazam untuk melihat ramai anak didik yang cemerlang dilahirkan. Kecemerlangan itu perlu seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Generasi yang berilmu dan bersahsiah cemerlang merupakan modal insan yang amat berharga dan diperlukan demi kemajuan dan kecemerlangan negara pada masa akan datang. Lantaran itu sesungguhnya diharapkan Wawasan 2020 akan menjadi realiti.

By Cikgu Hafiz

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s