PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) SAINS DAN MATEMATIK BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH


 
Y.BHG. TAN SRI DATO’ ALIMUDDIN HJ. MOHD DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
 
PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) SAINS DAN MATEMATIK BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH
 
Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme “soft landing” adalah seperti berikut:

 
(i)      P&P Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).
 
(ii)      Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Walau bagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat adalah seperti berikut:
 
(a)     Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
 
(b)     Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
 
(c)     Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.
 
(d)     Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.
 
(e)     Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
 
(f)      Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015
 
PENTAKSIRAN
 
(a)     Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.
 
(b)     Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.
 
(c)     Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.
Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana pada tahun 2016. Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematikn bagi Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.
By Cikgu Hafiz

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU, MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS: TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA


KENYATAAN AKHBAR
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,
MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS:
TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA


8 JULAI 2009
Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia.

Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuatkuasa pada tahun 2012. Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012. Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.

Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati:

  • Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
  • Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53–58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
  • Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.
  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
  • Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.
Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.

Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil SJK(T).

Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

  • Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan ”contact time” antara guru dan murid.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada 3 jam menjadi 6 jam seminggu.
  • Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
  • Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
  • Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
  • Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
  • Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah.

Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan untuk memperkayakan aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia.

Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan negara.

By Cikgu Hafiz

Murid SJKC Tiram dapat beg sekolah


JOHOR BAHRU 15 Jan. – Hampir 100 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiram, dekat sini menerima sumbangan beg sekolah hari ini. Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman. Turut hadir pada majlis yang diadakan di dewan sekolah berkenaan ialah Guru Besarnya, Lim Seng Thay. Abdul Halim berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung ibu bapa murid berkenaan. “Kita berharap ia dapat menceriakan murid-murid dengan beg baru seperti rakan-rakan yang lain,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengambil berat perkembangan pendidikan anak-anak mereka. Katanya, pendidikan merupakan pemangkin utama kepada perubahan yang lebih baik bagi kehidupan seseorang individu. “Kebanyakan individu yang berjaya mempunyai tahap pendidikan yang baik disertai dengan semangat bersungguh-sungguh dalam bidang diceburi mereka,” katanya. Sementara itu, Seng Thay memberitahu, setakat ini sekolah berkenaan mempunyai 3,400 murid dan 142 guru. Beliau mengakui keadaan sekolah agak sesak kerana setiap kelas mempunyai antara 40 hingga 48 murid. “Namun, kita berharap masalah ini mampu diatasi dengan adanya dua blok tambahan yang sedang dibina dan dijangka siap akhir tahun ini,” katanya. Katanya, apabila blok tambahan itu siap, sekolah tersebut boleh mengadakan sekolah satu sesi berbanding dua sesi sekarang.

By Cikgu Hafiz

PERUTUSAN TAHUN BARU 2010


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
7 JANUARI 2010; PUKUL 8.40 PAGI;
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualiikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri Pelajaran I;
Yang Berhormat Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II;
Yang Berbahagia, Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Awang,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran;
Yang Berbahagia, Tan Sri Dato’ Hj Alimuddin bin Hj Mohd Dom,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran;
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Guru-guru, murid-murid serta tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
1.         Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru bagi tahun 2010 ini. Bagi warga Kementerian Pelajaran, hari ini merupakan hari yang amat bermakna di mana seluruh warga Kementerian Pelajaran dari segenap pelusuk tanah air berhimpun untuk bersama-sama memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan menyuntik semangat baru yang lebih kental bagi melaksanakan tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa dan melonjakkan mutu pendidikan negara.
Para hadirin yang dihormati,
2.         Kementerian Pelajaran merupakan nadi kepada usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga Kementerian untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang menekankan pembangunan insan secara holistik dan membangunkan daya inovasi dan kreativiti pelajar. Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara kita. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Ekonomi Baru dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
3.         Dalam sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, pendidikan juga merupakan wadah utama untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Hasrat ini hanya akan dapat dicapai melalui pelaksanaan satu sistem pendidikan yang mementingkan nilai-nilai kebangsaan dan menghormati kepelbagaian. Melalui sistem pendidikan ini, anak-anak akan diasuh dengan nilai-nilai kebersamaan, hormat-menghormati, cintakan tanah air dan penerimaan antara satu sama lain. Saya percaya dengan adanya usaha, tekad dan niat yang murni daripada pelbagai pihak untuk menyemai dan menyuburkan benih perpaduan di kalangan generasi muda melalui satu sistem pendidikan kebangsaan, kita akan berjaya memperkukuhkan perpaduan negara selaras dengan hasrat dan gagasan 1Malaysia.
4.         Hakikatnya, melahirkan modal insan yang berketerampilan dan memupuk perpaduan kebangsaan adalah dua matlamat murni sistem pendidikan negara. Lebih daripada itu, sistem pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang sempurna dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, fungsi utama pendidikan di negara kita ialah untuk membina dan membangun potensi yang ada pada setiap anak kita tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya. Adalah menjadi hak setiap anak-anak di negara ini untuk mendapatkan pendidikan yang mampu menggarap dan membina segala potensi yang ada pada diri mereka secara seimbang dan sempurna.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
KEJAYAAN YANG DICAPAI DALAM TAHUN 2009
Akses Pendidikan Berkualiti – Infrastruktur dan Kebajikan
5.         Menyedari kepentingan pendidikan sebagai wahana untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, mempekukuhkan perpaduan dan membangun potensi pelajar secara seimbang, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda pendidikan. Meskipun Malaysia menerima kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia, Kementerian Pelajaran sentiasa memastikan perancangan dan pembangunan pendidikan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Alhamdulillah, pencapaian sepanjang tahun 2009, menunjukkan program-program yang dirancang telah memberi impak yang berkesan.
PENCAPAIAN AKADEMIK DI SEKOLAH
6.         Dari segi pencapaian akademik, pencapaian calon UPSR pada tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan bilangan pelajar yang memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.32 peratus. Sementara itu, keputusan PMR 2009 juga mencatatkan peningkatan sebanyak 6 peratus.
AKTIVITI SUKAN, SENI DAN KOKURIKULUM
7.         Saya juga amat berbangga dengan kejayaan menonjol para pelajar dalam bidang ko-kurikulum apabila pasukan negara kita menjadi johan keseluruhan dalam pertandingan World Robotic Challenge 2009 di Pohang, Korea Selatan; mendapat tempat ke enam dalam F1 Technology Challenge World Championship 2009 di London; dan pasukan daripada Sekolah Victoria menjuarai Kejohanan Pancaragam Sedunia 2009. Manakala dalam bidang sukan, kita amat berbangga dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh para atlet muda dari Sekolah Sukan Malaysia yang mampu bersaing dengan atlet senior di Temasya Sukan SEA Ke-25 di Laos dengan meraih sebanyak 28 pingat emas. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua!
8.         Usaha yang lebih bersepadu untuk menambah baik kemudahan dan prasarana sukan, meningkatkan keupayaan jurulatih dan menyemarakkan program sukan dan kokurikulum di sekolah akan terus dilaksanakan pada masa hadapan. Untuk tujuan ini, seramai 480 orang jurulatih kokurikulum telah dilatih pada tahun 2009 bagi membolehkan 516 jawatan jurulatih kokurikulum diisi pada tahun 2010 ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
MEMANTAPKAN LATIHAN PERGURUAN
9.         Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabat profesionalisme keguruan, KPM telah melaksanakan beberapa strategi. Ini termasuklah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru (IPG) yang menawarkan program ijazah. Kumpulan pertama guru terlatih IPG iaitu seramai 1,448 orang yang berjaya memperolehi ijazah sarjana muda pendidikan di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) pada Disember 2009 akan memulakan tugas mereka pada awal tahun ini. Pusat-pusat Kecemerlangan Institut Pendidikan Guru juga telah diwujudkan berdasarkan bidang-bidang kebitaraan.
10.       Kementerian juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti berprestij dalam dan luar negara sebagai salah satu usaha menaik taraf IPG, meningkatkan pembangunan kapasiti (capacity building) para pensyarah dan melahirkan guru siswazah yang berkemahiran. Antara yang telah dilaksanakan ialah Program Perguruan IPTA (Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dalam negara, serta Program Kembar Bachelor of Education (TESL). IPG Kampus Antarabangsa yang telah bekerjasama dengan lima universiti di Australia, New Zealand dan United Kingdom sejak tahun 2003 telah melahirkan tiga kohort guru bahasa Inggeris berjumlah 367 orang yang majoritinya berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman. Program melatih guru dalam bahasa Antarabangsa seperti Bahasa Jerman, Bahasa Jepun dan Bahasa Perancis diteruskan bagi memastikan murid sekolah berpeluang belajar bahasa lain selain bahasa Inggeris. Selain itu, Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG diteruskan bagi menjamin kredibiliti tenaga pengajar dan kualiti pendidikan di IPG. Sehingga penghujung tahun 2009, sejumlah 60 peratus pensyarah IPG telah ditawarkan tajaan biasiswa kedoktoran manakala 57 peratus pensyarah ditawarkan tajaan biasiswa sarjana.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN
11.       Pemeluasan akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak akan lengkap tanpa memastikan pelajar menikmati kemudahan pendidikan yang selesa. Oleh itu, sebanyak 10,281 projek infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian. Bagi memastikan anak-anak kita di luar bandar dan kawasan pedalaman menerima pendidikan yang sewajarnya, sebanyak 93 buah asrama baru, asrama tambahan dan gantian telah siap, atau sedang dalam proses pembinaan. Kementerian juga telah melaksanakan sebanyak 168 buah projek rumah guru yang diharap dapat memastikan guru dapat berkhidmat di kawasan pedalaman dalam keadaan yang lebih selesa.
12.       Selain itu, KPM juga telah melaksanakan projek bekalan air bersih di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM387.9 juta. Bekalan elektrik telah berjaya disediakan di sekolah-sekolah di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM1.78 billion. Sehingga kini bekalan elektrik 24 jam telah dapat disediakan kepada hampir semua sekolah iaitu 99.1 peratus sekolah rendah, dan 99.5 peratus sekolah menengah. Dalam usaha merapatkan jurang digital, Kementerian telah mewujudkan 2143 atau (70.8%) pusat akses ICT di luar bandar. Dengan terlaksananya pembinaan pusat akses, maka ramai murid telah dapat melaksanakan pembelajaran kendiri, berkomunikasi secara elektronik, mencapai maklumat dan memperoleh kemahiran ICT.
Hadirin yang dihormati sekalian,
KEBAJIKAN GURU
13.       Sesungguhnya Kementerian amat menghargai dan berterima kasih kepada para pendidik yang tanpa jemu berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara dan mendidik anak bangsa, terutamanya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman. Bagi memastikan guru terlatih mencukupi mengikut opsyen di pedalaman, Kementerian telah memperluaskan pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan bagi pegawai perkhidmatan pendidikan dan anggota kumpulan sokongan yang berkhidmat di sekolah pedalaman. Elaun ini telah memberi manfaat kepada seramai 12,000 warga pendidik di 872 buah sekolah.
14.       Untuk memartabatkan profesyen keguruan, Kementerian juga telah meluluskan 3,302 pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah (PPPS) laluan cemerlang, 233 bagi laluan Guru Besar bekas Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma (PPLD); 9, 627 bagi PPPS laluan Time-Based; 17, 916 bagi PPPS laluan hakiki; 2,137 bagi PPLD laluan cemerlang; 8,218 bagi PPLD laluan Time-Based; dan 5,368 bagi PPLD laluan hakiki. Bagi Anggota Kumpulan Sokongan pula, jumlah pemangkuan dan kenaikan pangkat yang diluluskan ialah 4,001 bagi laluan Time-Based dan 10,915 bagi laluan Hakiki.
PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN PERINGKAT ANTARABANGSA
15.       Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia, Kementerian menjalin program-progran kerjasama dengan negara-negara maju dan membangun. Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang dikendalikan di IPG, Kampus Bahasa Antarabangsa sejak tahun 2001 melibatkan 93 buah negara, adalah salah satu bukti bahawa pendidikan di Malaysia telah mencapai tahap antarabangsa dan mempamerkan keupayaan Malaysia menjadi global players dalam arena pendidikan dunia. Satu lagi projek yang amat membanggakan Malaysia pada tahun 2009 adalah Malaysia Australia Education Project for Afghanistan (MAEPA), iaitu projek kerjasama   Malaysia dan Australia bagi melatih 30 orang jurulatih utama dari Afghanistan dalam pendidikan guru menurut perspektif pendidikan Islam di IPG yang sama. Malaysia juga akan meningkatkan jalinan kerjasama peringkat dua-hala (Bilateral) dan pelbagai-hala (Multilateral) melalui pelbagai saluran kerjasama di peringkat antarabangsa seperti ASEAN, UNESCO, ISESCO, Komanwel, dan SEAMEO
Hadirin yang dihormati sekalian,
HARAPAN BAGI TAHUN 2010
16.       Apakah harapan dan wawasan kita bagi tahun 2010? Walaupun kita telah berjaya melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti pendidikan pada tahun 2009, kita juga akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditangani bagi tahun 2010. Antara cabaran yang menuntut komitmen dan iltizam semua warga pendidik adalah meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan sebagaimana yang disasarkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.
17.       Justeru, bagi tahun 2010 saya ingin memberikan tumpuan khusus kepada usaha untuk mencapai sasaran awal empat sub-NKRA pendidikan. Pertama, untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, sasaran Kementerian bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, malah juga meliputi kanak-kanak yang berumur 4 tahun. Penyertaan kanak-kanak seawal umur 4 tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi. Pada masa ini, 67 peratus kanak-kanak telah mengikuti prasekolah kerajaan dan swasta. Sasaran bagi tahun 2010, iaitu peningkatan 5 peratus kepada 72 peratus bukanlah sesuatu yang sukar dicapai, kerana tanggungjawab ini akan dipikul bersama oleh agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Selaras dengan ini, Kementerian telah menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun 2010 ini. Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta, akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid.
18.       Kedua, penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira murid akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS) pada peringkat sekolah rendah. Pada masa kini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak 3 peratus iaitu kepada 90 peratus. Sasaran ini akan disokong dengan menempatkan guru-guru yang terbaik untuk mengajar Tahun 1, menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah 1 guru kepada 15 orang murid daripada nisbah sedia ada iaitu 1 guru kepada 1 sekolah. Ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M. Kumpulan guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program ini juga akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.
19.       Ketiga, sasaran untuk melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi akan dicapai dengan mewujudkan sekolah berkesan atau effective schools yang mempunyai identiti tersendiri yang unik, berbudaya kerja sangat tinggi dengan modal insan yang berkembang secara holistik, berdaya saing serta diiktiraf dalam dan luar negara. Sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini agar matlamat kita menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012 tercapai. Saya amat berharap agar hasrat untuk mewujudkan sekolah-sekolah sebegini menjadi realiti dan seterusnya menjadi sekolah contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam mencipta kecemerlangan institusi masing-masing.
20.       Keempat, Kementerian telah merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah yang telah berusaha memajukan serta menyumbang kepada profesionalisme pengurusan dan kesejahteraan institusi masing-masing. Bermula tahun 2010, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran yang perlu dicapai dengan persetujuan bersama Kementerian. Pencapaian prestasi sekolah adalah berdasarkan skor komposit iaitu kombinasi skor Gred Purata Sekolah (GPS) dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai kedudukan tertinggi akan layak menerima ganjaran. Kementerian berharap agar ganjaran ini menjadi pendorong kepada semua pemimpin sekolah untuk terus berusaha dengan gigih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dan seterusnya meningkatkan kualiti sekolah sehingga menjadi sekolah berprestasi tinggi.
21.       Dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita juga perlu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Alhamdulillah, dalam kalangan pelajar kita terdapat mereka yang lebih cenderung untuk mengasah bakat dalam bidang kemahiran. Menyedari hakikat ini, Kementerian telah menstruktur semula 69 buah Sekolah Menengah Teknik untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional yang diharapkan dapat menggarap kemahiran pelajar-pelajar kita dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka. Kita juga telah merancang program yang terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi salah satu bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya dengan peningkatan mutu pendidikan kemahiran dan vokasional, kita akan dapat membekalkan tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan oleh Negara.
22.   Penandaarasan pendidikan negara adalah amat penting untuk menjamin pendidikan di negara kira adalah setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Dengan mengambil kira kesesuaian konteks pendidikan Malaysia, Kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama UNESCO bagi membolehkan kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambahbaik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran dan aspek-aspek lain secara keseluruhannya.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
MBMMBI
23.        Bahasa merupakan jiwa sesuatu bangsa. Menyedari hakikat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan, Kementerian akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Program literasi kepada murid sekolah rendah akan menumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan. Ini bagi memastikan semua murid dapat berkomunikasi dan memahami satu sama lain dalam satu bahasa yang akan mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Selain itu, Kementerian juga akan melaksanakan transformasi bahasa Malaysia dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang, dan holistik.
24.       Untuk berjaya pada peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bukan sahaja satu bahasa malah pelbagai bahasa antarabangsa. Untuk tujuan itu, Kementerian telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua negara, lantas dapat meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globalisasi, selain menggalakkan murid menguasai bahasa-bahasa antarabangsa lain di dunia. Antara usaha yang dijalankan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan menambah bilangan guru bahasa Inggeris berkualiti melalui latihan perguruan menggunakan jurulatih utama dari luar negara atau penutur jati bahasa tersebut. Selain itu, penambahan masa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebanyak 90 minit untuk Sekolah Kebangsaan dan 60 minit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan membuktikan kesungguhan Kementerian untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Sebanyak empat IPG dan English Language Training Centre (ELTC) telah dikenalpasti sebagai ‘Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris’. Semua IPG ini akan melaksanakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih dan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
25.       Kementerian telah merancang pelbagai usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan menambahbaik sistem pendidikan negara. Namun, usaha dan perancangan tersebut akan menghadapi cabaran yang bukan sedikit pada tahun 2010 ini. Sebagai permulaan, krisis ekonomi dunia yang berlaku telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Situasi ini telah menjejaskan pendapatan negara. Ini menyebabkan peruntukan perbelanjaan Kementerian Pelajaran pada tahun ini dikurangkan kepada RM30.51 billion berbanding RM31.4 billion pada tahun lalu. Cabaran kepada Kementerian ialah untuk meneruskan segala aktviti sedia ada secara lebih cekap dengan meletakkan keutamaan (priority) pelaksanaan program yang dirancang tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.
26.       Kunci kepada kejayaan kita mengharungi cabaran ini ialah pengurusan kewangan yang berhemah berteraskan amalan nilai-nilai moral, etika dan integriti yang luhur. Dalam memelihara integriti, saya menyeru seluruh warga Kementerian agar menghayati nilai-nilai murni seperti cekap, jujur dan amanah, serta membuat sesuatu keputusan berasaskan kepada kriteria-kriteria yang telus, adil dan saksama serta mengelakkan pembaziran. Saya yakin dengan memelihara integriti, kita akan berupaya mengurus kewangan dengan berhemah dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaras dengan prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
27.       Cabaran yang perlu digalas oleh semua pengurus pendidikan khususnya pada peringkat institusi pendidikan ialah untuk berfikir dan bertindak bagi mengekal dan meningkatkan pencapaian berdasarkan tahap keberhasilan yang ditetapkan dengan menggunakan sumber yang terhad. Kejayaan pengurusan sekolah mendepani cabaran ini sesungguhnya menjadi ukuran kepada kecekapan dan keberkesanaan mereka dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Inilah masa yang sesuai untuk kita memperaktikkan cadangan YAB Perdana Menteri bagi tahun 2010, iaitu ‘menggalakkan kreativiti dan inovasi’ dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Saya percaya, kita pasti dapat mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme warga pendidik.
28.       Kepada para pelajar, harapan saya tentu sekali anda semua mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ingatlah bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh para guru dan seluruh warga Kementerian ini ialah untuk mendidik anda semua agar menjadi pelajar yang cemerlang. Justeru, berusahalah dengan gigih, hormatilah para guru dan ibubapa, peliharalah disiplin dan sahsiah diri, dan capailah impian anda. Di samping itu, jadikanlah sekolah kita sebagai medan untuk memperkukuhkan perpaduan. Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati dan amalkanlah sikap saling hormat-menghormati. Saya percaya dengan sikap yang baik ini kita akan berjaya memupuk semangat perpaduan yang lebih kental.
PENUTUP
29. Akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua warga Kementerian Pelajaran, termasuk semua pendidik yang berada di seluruh pelusuk negara yang telah berusaha dengan gigih untuk menjayakan pelbagai program pada tahun 2009. Bagi tahun baru 2010 ini, saya berharap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan akan dilipatgandakan lagi agar kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita pada hari ini dan masa depan. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Semoga usaha kita akan diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita dapat dilaksanakn dengan jayanya.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
By Cikgu Hafiz

All schools treated alike, says Muhyiddin


2010/01/14

LONDON: The government does not practise discrimination in the field of education as it treats all schools alike in Malaysia, said Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin. He said although the government made announcements on high-performing and best schools, it was done so that they could be models for others to emulate.

He said this during a dialogue with Malaysian student leaders at the Malaysian High Commission here yesterday.

Muhyiddin was responding to dissatisfaction expressed by one student that there was a disparity in the government’s treatment of schools, especially involving those in the interiors of Sabah and Sarawak.

According to Muhyiddin, there was no let up on the government’s part to implement various improvement programmes for schools in the two states.

“The problem the government faces is that there are not many teachers willing to serve in interior areas, especially in those two states,” he said.

Also present were Muhyiddin’s wife, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Deputy Higher Education Minister Datuk Saifuddin Abdullah and Malaysia’s High Commissioner to the United Kingdom and Northern Ireland, Datuk Abd Aziz Mohamed. — Bernama

By Cikgu Hafiz

Penguasaan guru dalam ICT diutamakan – TPM


Penguasaan guru dalam ICT diutamakan – TPM

LONDON 12 Jan. – Malaysia yakin penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah mudah dilaksanakan dengan penumpuan kepada penguasaan di kalangan guru-guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan melalui kursus berterusan kepada pentadbir sekolah, pengetua dan guru-guru dalam mewujudkan golongan celik komputer telah menunjukkan kesan ketara kepada perkembangan ICT di Malaysia.

Menurutnya, kajian British Commonwealth Group (BCG) 2008 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkaitan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menunjukkan wujudnya peningkatan kesedaran dan kreativiti di kalangan guru dan murid dalam penguasaan ICT.

“Malaysia mempunyai banyak inisiatif termasuk video pendidikan melalui web, EduWeb TV, dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada lapan saluran projek School-Net melalui jalur lebar bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar.

“Makmal komputer juga dibina di 6,633 sekolah. Pusat akses Internet sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi kemudahan murid mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar bandar,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan ucaptama di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II di sini hari ini.

Seramai 73 Menteri Pelajaran dan juga pemimpin serta pegawai-pegawai pendidikan dunia menghadiri forum tersebut yang membincangkan mengenai pembelajaran dalam bidang ICT.

Ia forum pendidikan terbesar di dunia yang memfokuskan pembangunan dan integrasi ICT dalam pembelajaran di sekolah-sekolah.

Forum ini memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, pegawai kanan kerajaan dan pihak berkaitan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman mengenai pengunaan ICT di negara masing-masing.

Tambah Muhyiddin, gabungan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan Malaysia telah memperlihatkan banyak kerjasama antara sektor swasta dan awam dalam membentuk perkongsian pintar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kini menjadi cabaran kepada guru berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan penggunaan ICT yang membawa kepada pelbagai bentuk kemajuan itu dapat dicapai.

“Pada masa sama, kita juga sentiasa mengingatkan para guru bahawa teknologi itu hanyalah alat.

“Interaksi di dalam kelas dengan murid-murid juga perlu diutamakan di samping penggunaan ICT dalam pembelajaran. Tiada teknologi yang boleh menggantikan guru,” jelasnya.

Katanya, cabaran lain adalah kos yang tinggi dalam melaksanakan ICT terutama ketika negara menghadapi krisis ekonomi,

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan mendapat kerjasama baik daripada komuniti sekitar dan sektor swasta dalam menjayakan program ICT di sekolah.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai keperluan menjadikan pendidikan sebagai pertahanan paling utama negara bagi keselamatan ekonomi dan memberi jaminan kesihatan termasuk membantu dunia memerangi kebuluran.

“Selain menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian kemahiran mengenai teknologi, jadikan ia untuk menjalinkan kerjasama erat bagi keamanan dunia melalui komunikasi dan informasi teknologi yang lebih baik dalam ikatan persaudaraan pendidikan,” katanya. – utusan

By Cikgu Hafiz

Tarikan SJKC


JIKA dulu tidak ramai di kalangan ibu bapa masyarakat Melayu yang menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tetapi kini sebaliknya.

SJKC yang diperkenalkan sejak 1880 itu kini semakin menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka menimba ilmu, sekali gus meningkatkan jumlah pelajar bukan berbangsa Cina belajar di sekolah itu.
Terbaru, sesi persekolahan bagi 2010 mencuri perhatian apabila 70 peratus murid tahun satu di SJKC Kou Hua, Kuala Nerang, Terengganu terdiri daripada murid Melayu.

Daripada 19 murid tahun satu yang mendaftar, 14 daripadanya Melayu, Cina (tiga) dan dua murid Siam. Dengan itu, hampir 50 peratus daripada 96 jumlah keseluruhan murid di sekolah itu adalah Melayu.
Selain sekolah itu, kebanyakan SJKC di seluruh negara juga menerima pelajar baru terutama di kalangan masyarakat Melayu.
Peningkatan bilangan murid terutama Melayu yang mendaftar di SJKC menimbulkan pelbagai tanda tanya. Apakah faktor yang menyebabkan ibu bapa kini lebih cenderung menghantar anak ke SJKC berbanding Sekolah Kebangsaan (SK)?

Adakah ia disebabkan sistem pendidikannya? Adakah ia mungkin disebabkan kemudahan infrastruktur yang lebih canggih dan lengkap? Mungkinkah kejayaan yang dicapai pelajar Melayu yang bersekolah di SJKC seperti dibuktikan Mohamad Daniel Idrus iaitu pelajar Melayu tunggal di SJKC Bachang, Melaka yang meraih 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, menjadi perangsang?

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata banyak faktor yang dilihat menjadi penyebab ibu bapa kini lebih memilih SJKC berbanding SK sebagai tempat anak mereka menimba ilmu.
Salah satu daripada faktor itu, menurut Mohd Ali, dasar keterbukaan yang diamalkan di negara ini iaitu ibu bapa bebas untuk memilih sekolah yang mereka rasakan terbaik untuk anak masing-masing.
“Wujudnya kesedaran terhadap kepentingan bahasa Mandarin dalam kehidupan dan kerjaya anak mereka kelak di samping prestasi murid di SJKC yang lebih cemerlang juga menjadi faktornya.
“Ia diikuti dengan kecemerlangan kaedah pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik serta disiplin murid yang terkawal,” katanya.
Selain itu, kata Mohd Ali, kemudahan prasarana di SJKC yang lebih baik dan lengkap turut menarik minat ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.
“Sebagai ibu bapa, kita pasti akan memilih yang terbaik untuk anak, lebih-lebih lagi yang berkaitan pendidikan.

“Jadi, dengan keadaan sesetengah SK terutama di luar bandar tidak mempunyai prasarana yang lengkap, sudah pasti mereka memilih SJCk kerana ia lebih lengkap,” katanya.
Menurutnya lagi, guru di SJKC yang lebih komited, berdedikasi dan sentiasa menitikberatkan kemajuan serta prestasi murid turut menjadi faktor penyebab ibu bapa menghantar anak ke SJKC, sekali gus meningkatkan bilangan murid Melayu di sekolah berkenaan.
“Akademik dan kokurikulum di SJKC juga seimbang kerana setiap murid diwajibkan menghadiri aktiviti kokurikulum yang dijalankan setiap minggu,” katanya.
Dalam hal ini, saya berharap pihak kerajaan dapat memperkasakan SK supaya ia menjadi pilihan ibu bapa bukan saja untuk masyarakat Melayu tetapi juga Cina dan India untuk menghantar anak mereka menimba ilmu.
“Kemudahan dan prasarana di semua SK juga perlu dilengkapkan di samping memastikan menempatkan guru yang berkaliber serta berdedikasi untuk mengajar.
“Kaedah pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik juga perlu dipertingkatkan selain memperbaiki sistem disiplin di SK,” katanya.
Kata Mohd Ali, apa yang paling penting dan perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan dengan mewujudkan subjek tambahan di SK iaitu bahasa Mandarin dan Tamil.
“Bahasa Mandarin sangat berguna kepada masa depan anak. Justeru, dengan penawaran subjek itu di SK, ia berupaya menjadikan SK sebagai pilihan utama ibu bapa untuk menghantar anak menimba ilmu,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Mohamad Daniel, Idrus Md Zin, berkata beliau mempunyai alasan tersendiri memilih SJKC untuk anaknya menimba ilmu.
“Alasannya cukup senang. Saya mahu dia belajar menguasai pelbagai bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris.

“Ini kerana, agama sendiri ada mengatakan kalau mahu mendidik anak, kita kena ikut zaman mereka sekarang. Jadi, zaman sekarang selain bahasa Melayu dan Inggeris, bahasa lain terutama Mandarin juga sangat penting.
“Selain berkomunikasi, mereka kelak boleh menggunakan bahasa itu untuk kegunaan dalam kehidupan dan kerjaya mereka, lebih-lebih lagi bahasa Mandarin adalah bahasa perantaraan utama di dunia,” katanya.
Menurutnya, kaedah pembelajaran yang diguna pakai di SJKC terutama dalam subjek Matematik dan Sains juga menjadi salah satu faktornya.
“Walaupun sistem pendidikan yang digunakan sama di semua sekolah, kaedah pembelajarannya cukup berlainan terutama Matematik dan Sains.
“Disiplin pelajar di SJKC terutama yang membabitkan kerja sekolah juga sentiasa mendapat perhatian guru dan ia mendorong murid untuk sentiasa melaksanakannya sebaik mungkin.
“Jika murid gagal untuk melaksanakan kerja yang diberikan, guru akan memberitahu ibu bapa untuk mengambil tindakan sewajarnya. Ia tidak berakhir dengan pemberitahuan saja kerana mereka akan sentiasa membuat pemantauan, ” katanya.
Menurut Idrus lagi, komunikasi antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah serta komitmen dan tanggungjawab guru yang tinggi terhadap kemajuan murid turut menjadi faktor dia menghantar anaknya menimba ilmu di SJKC.
“Di SJKC, guru banyak berinteraksi dengan ibu bapa terutama yang berkaitan dengan murid.

“Jika ada sebarang masalah tidak kira dari segi pelajaran atau disiplin, mereka akan segera menyelesaikannya di samping memaklumkan kepada ibu bapa untuk tindakan selanjutnya.
“Sebagai contoh, ketika Mohamad Daniel masih di tahun satu, beberapa pelajar darjah enam masuk ke kelas mereka dan mengambil peralatan tulis mereka.
“Selepas mengetahui perkara itu daripada Daniel, saya kemudian menghantar surat kepada guru kelasnya dan dalam sehari saja, perkara ini berjaya diselesaikan,” katanya.
Idrus berkata, bagi sesetengah guru, mereka menganggap tugas dan tanggungjawab mereka adalah semata-mata untuk mengajar tetapi ia berlainan di SJKC.

(sumber: Harian Metro online)

By Cikgu Hafiz

Buku teks baru


Kandungan menarik, saiz lebih kecil mulai persekolahan 2011

JAWATANKUASA Inovasi Buku Teks akan membuat pembaharuan bagi memperkemaskan bentuk fizikal buku teks, termasuk mengurangkan saiz hingga 20 peratus berbanding sekarang.

Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Mohd Adenan Deraman, berkata pembaharuan itu membabitkan buku teks cetakan baru berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah bermula sesi persekolahan 2011.

Katanya, proses inovasi merangkumi usaha mengecilkan saiz buku teks itu diharap dapat mengurangkan masalah buku berat hingga menyukarkan pelajar membawanya.

Beliau berkata, proses inovasi itu antara lain bertujuan memastikan bentuk fizikal buku teks lebih mesra pelajar dan mudah dibawa ke mana-mana, selain mengurangkan kos cetakan.

“Pengstrukturan semula itu juga penting dalam usaha menghasilkan buku teks yang memenuhi aliran bahan bacaan semasa dengan memiliki ciri rekaan kreatif dan inovatif.

“Perkembangan positif ini perlu dijadikan contoh supaya buku teks tidak bersifat tradisi hingga mengurangkan minat pelajar membacanya.

“Perubahan ini diharap menjadikan buku teks bukan saja bahan rujukan pelajar, malah bacaan umum,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohd Adenan berkata, perubahan itu turut mengambil kira penggunaan ilustrasi dan grafik bagi memastikan persembahannya menarik dan menjadi sumber rujukan utama, selain buku tambahan.

Perubahan fizikal buku teks ini, katanya, tidak menjejaskan kandungan berdasarkan silibus yang sudah ditetapkan mengikut tahap pelajar.

“Kami akan memanggil ahli jawatankuasa pengstrukturan buku teks, antaranya wakil sektor teknikal BBT, Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit terpilih.

“Perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat bertujuan mengumpul idea sebagai panduan dalam menghasilkan buku teks bersifat kreatif dan inovatif,” katanya.

Dalam perbincangan itu, Mohd Adenan menjelaskan pihaknya akan mengemukakan konsep diperlukan, antaranya kandungan, persembahan dalaman, kulit dan susun atur serta saiz yang lebih bersifat mesra pengguna.

Katanya, berdasarkan konsep asas itu, penerbit diminta mengemukakan contoh terbaik bagi memastikan cadangan serta persembahan mereka dipersetujui.

Beliau berkata, pengstrukturan itu sejajar dengan penetapan 2010 sebagai “Tahun Kreativiti dan Inovasi” bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan persembahan dalam memperkemas pengurusan sesebuah organisasi.

“Kami mengharapkan proses ini membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara dengan menyediakan bahan bacaan berkualiti memenuhi keperluan pelajar dan membantu proses pengajaran dan pembelajaran berkesan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Zainora Mohamad, berkata pihaknya yakin usaha kementerian itu menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan utama di sekolah.

Beliau berkata, rekaan inovasi perlu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya penambahan kos, konsep dan pendekatan yang lebih bersifat mesra pelajar.

Selain itu, bagi mata pelajaran tertentu contohnya Geografi atau Sains, katanya, ia turut mengambil kira faktor nilai ditambah.

“Penyediaan sisipan atau lipatan antara muka surat juga perlu disediakan sesuai dengan topik dalam bab berkenaan, termasuk penggunaan gambar eksklusif,” katanya.

(sumber: Berita Harian Online)

By Cikgu Hafiz

Apa itu guru cemerlang?


“Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.” – Buku Terma Rujukan konsep Guru Cemerlang

Pengetua, Penolong Pengetua, Guru Besar dan Pegawai Pendidikan.

Jawatan-jawatan yang dinyatakan tadi merupakan antara jawatan yang tertinggi dalam bidang perguruan. Kenaikan pangkat dalam bidang perguruan cenderung untuk menjauhkan guru daripada melibatkan diri dalam pengajaran di bilik darjah.

Secara tidak langsung, bidang perguruan kehilangan guru-guru yang pakar dan berdedikasi dalam bidang masing-masing apabila mereka dinaikkan pangkat.

Menyedari hakikat tersebut, kenaikan pangkat Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 sebagai peluang kenaikan pangkat yang lebih baik bagi guru gemilang yang tidak meninggalkan bilik darjah.

Objektif kenaikan pangkat Guru Cemerlang

  • Memberi pengiktirafan kepada guru yang cemerlang dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing.
  • Meningkatkan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).
  • Menjadikan Guru Cemerlang role model kepada guru lain.
  • Meningkatkan motivasi guru.
  • Meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan berkongsi pengalaman dan kemahiran Guru Cemerlang.
  • Memperluaskan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan pelajaran.
  • Membolehkan guru dinaikkan pangkat tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar atau bertukar ke jawatan pentadbiran.
  • Menyediakan peluang untuk guru naik pangkat ke gred yang lebih tinggi secara laluan laju (fast track), khas Untuk Penyandang (KUP).
By Cikgu Hafiz