Tambah waktu


KUALA LUMPUR: Mulai 2011, Kabinet bersetuju menambah waktu pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semalam (kelmarin) kita bawa pada Kabinet untuk mendapatkan pandangan dan memang (ia akan dilaksanakan) mulai 2011.

“Selaras dengan dasar itu kita mengambil langkah untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.

“Kabinet bersetuju untuk kita menambah waktu. Di Sekolah Jenis Kebangsaan, kita tambah 60 minit di tahap satu dan 90 minit di tahap dua.

“Untuk Bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan, kita tambah lagi 60 minit iaitu penambahan 100 peratus daripada yang sekarang 60 minit dan di tahap dua tambah 30 minit lagi.

“Demikian juga di Sekolah Kebangsaan, masa Bahasa Inggeris juga kita tambah 90 minit di tahap satu dan 90 minit di tahap dua,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Pada majlis itu Muhyiddin turut melancarkan buku bertajuk “Najib: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” ditulis Aizuddin Muhammad Muaz.

Buku berharga RM350 senaskhah itu yang diedarkan oleh Karisma Production Sdn Bhd memaparkan perjalanan Datuk Seri Najib Razak sejak beliau mula menceburi bidang politik hingga menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun waktu pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan, waktu persekolahan tetap tidak dipanjangkan, sebaliknya ada pengubahsuaian kurikulum di sekolah.

“Kita ada buat pengubahsuaian daripada segi kurikulum supaya lebih menyeronokkan. Ini selaras dengan perubahan yang kita cadangkan untuk melaksanakan dasar baru kita. Kita ada pengubahsuaian waktu mana kita tambah, waktu yang kita kurangkan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai jumlah buku di perpustakaan sekolah, beliau mengalu-alukan syarikat menaja dan menyediakan bahan bacaan bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

By Cikgu Hafiz

Tambahan waktu BM, BI mulai sesi persekolahan tahun depan


KUALA LUMPUR: Kabinet telah memutuskan masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata masa persekolahan tidak akan dipanjangkan tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar. “Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang.

Di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil dan Cina), sesi pembelajaran untuk BM akan ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu.

Bagi BI, ia akan ditambah menjadi 120 minit seminggu daripada hanya 60 minit.
Mengenai bahan bacaan terhad yang dilaporkan berlaku di perpustakaan sekolah, Muhyiddin menyarankan lebih banyak badan korporat menderma buku kepada perpustakaan sekolah sebagai sebahagian tanggungjawab sosial mereka.

By Cikgu Hafiz

Program Mentoring Jabatan Pelajaran Johor 2010


Kerangka reka bentuk program
Bentuk program dan aktiviti akan ditentukan oleh matlamat dan objektif
Misi:
Pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UPSR mencapai sasaran(ETR) sekolah
Falsafah:
Melalui kolaborasi dan perkongsian kita boleh meraih lebih banyak kejayaan
Matlamat:
Untuk membantu sekolah-sekolah mencapai potensi dalam pelajaran Bahasa Melayu.
UPSR
Objektif:
1. Melantik sekolah-sekolah yang menjadi mentor oleh Penolong PPD Bahasa.
2. Merasmikan program mentoring di peringkat negeri.
3. Menyebarkan panduan dalam melaksanakan program mentoring
4. Memantau pelaksanaan program
5. Menyediakan laporan program berdasarkan laporan bulanan mentor
6. Menilai pencapaian program menggunakan instrument yang disediakan
Tindakan:
1. Pelantikan sekolah mentor – Disember 2009
2. Perasmian program mentoring – Disember 2009
3. Penyebaran maklumat – Januari 2010
4. Pemantauan – Februari 2010
5. Pelaksanaan program di peringkat sekolah – Januari 2010
6. Pelaporan pertama – Mac 2010
7. Penilaian pertama – Disember 2010

By Cikgu Hafiz

Sisipan Skor, Minda, Didik bantu mata pelajaran teras


PENGGUNAAN Akhbar Dalam Darjah (ADD) Berita Harian bukan saja memberi alternatif kepada guru dalam pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya banyak menyediakan maklumat tambahan yang boleh diaplikasi pelajar.

Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftar Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Saruchi Sawal berkata, akhbar Berita Harian menyediakan alternatif kepada guru melalui sisipan Didik, Minda dan Skor yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Malah, beliau yakin bahawa sebahagian guru turut mengakui sisipan berkenaan banyak membantu melalui teknik mengajar mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Saya berharap Berita Harian akan meneruskan usaha murni ini secara berterusan bukan hanya di Kuantan tetapi memperluaskannya ke daerah lain di negeri ini.

“Usaha yang dilakukan Berita Harian perlu dicontohi bagi membantu mempertingkatkan sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah sekali gus melahirkan pelajar yang cemerlang,” katanya yang merasmikan Bengkel ADD di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Kuantan, di sini, baru-baru ini. Saruchi mewakili Pengarah Jabatan Pelajaran, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Timbalan Pengarah KPTM, Mohd Zaidi Zakaria.

Bengkel setengah hari itu disertai 84 guru sekolah menengah dari seluruh negeri ini bertujuan memberi peluang kepada warga pendidik memahami dan mendapat penjelasan mengenai sisipan Didik, Minda dan Skor.

Saruchi berkata, bukan saja sisipan ADD yang mengandungi pelbagai bahan yang boleh dimanfaatkan guru dan pelajar tetapi kandungan beritanya juga boleh dijadikan bahan untuk menarik perhatian pelajar.

Terdahulu, Mior Kamarul dalam ucapannya berkata, akhbar Berita Harian diiktiraf Kementerian Pelajaran sebagai sebuah akhbar yang sentiasa mendokong isu pelajaran dan pendidikan.

Katanya, Berita Harian sentiasa memberi tumpuan kepada isu pelajaran, aspek kebajikan guru dan pelajar selain menjadikan agenda pendidikan sebagai fokus utama dalam memberi ilmu dan maklumat kepada semua golongan termasuk pelajar.

“Tumpuan ini dapat dilihat melalui pengeluaran sisipan Didik, Minda Pelajar, Skor dan terbaru Varsiti melengkapkan akhbar ini sebagai akhbar pelajar,” katanya.

By Cikgu Hafiz

Pendidikan seks amat mencabar


KUALA LUMPUR – Guru-guru di Malaysia masih belum bersedia untuk mengendalikan pendidikan seks di sekolah kerana mereka kurang latihan profesional dalam subjek tersebut.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan ialah guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.

Beliau memberitahu Bernama semalam bahawa guru-guru takut mereka mungkin akan disaman oleh ibu bapa jika melakukan kesilapan dalam menyampaikan pengetahuan seks kepada murid-murid.

Malaysia adalah sebuah negara dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya dengan setiap etnik mempunyai tanggapan masing-masing mengenai subjek itu yang menjadikan pengajarannya lebih mencabar, katanya.

By Cikgu Hafiz

Struktur pengurusan sukan sekolah dirombak


PUTRAJAYA 2 Mac – Kementerian Pelajaran akan merombak struktur pengurusan sukan di sekolah-sekolah dengan menubuhkan satu bahagian baru yang khusus untuk memperkasakan aktiviti bidang itu di kalangan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui langkah itu, sukan yang sebelum ini diletakkan bersama aktiviti seni dan kokurikulum akan diasingkan.

Menurutnya, perubahan itu sejajar dengan langkah terbaru kerajaan menetapkan dasar ‘satu pelajar satu sukan’ iaitu mewajibkan setiap pelajar sekurangnya-kurangnya aktif dalam satu jenis sukan.

‘‘Kita sudah bincangkan perkara ini dalam satu jawatankuasa ad-hoc bersama-sama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum dan kita putuskan supaya satu bahagian baru diwujudkan.

‘‘Ia tidak lagi disatukan dengan kegiatan seni dan kokurikulum dan disebabkan itu tumpuan dapat diberikan kepada bidang sukan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Pada 21 Februari lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan kementerian tersebut akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan.

Selaras dasar baru itu, beliau berkata, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Muhyiddin, kementerian turut menimbangkan untuk memberikan elaun kepada tenaga pengajar sukan dari badan-badan dan persatuan sukan yang dapat membantu pihak sekolah.

‘‘Kita boleh buat ikatan hubungan strategik dengan badan-badan sukan kerana ketika ini jumlah guru sukan masih belum mencukupi,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa bidang sukan seharusnya tidak lagi dilihat sekadar kegiatan kokurikulum sebaliknya sebagai satu bentuk kurikulum yang perlu ditekankan di sekolah-sekolah.

Katanya, sukan boleh menjadi satu komponen yang bukan setakat satu bentuk aktiviti malah dapat membentuk hubungan kemanusiaan dan ia merentasi soal ras serta kaum.

By Cikgu Hafiz

Guru wajib ke luar bandar


TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin diwawancara oleh Suhaimi Sulaiman pada program Temubual Eksklusif Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Agenda Awani, rancangan terbitan Astro, di Kuala Lumpur, malam tadi. – Foto Nik Rosli Ishak.

# Tempoh tugas tiga hingga lima tahun tempoh perkhidmatan
# Cikgu baru mesti mengajar di pedalaman

KUALA LUMPUR: Guru akan diwajibkan bertugas di pedalaman dan luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mewajibkan guru baru mengajar di pedalaman, sekali gus mengelakkan sistem pendidikan negara berada dalam kepincangan berikutan keengganan guru bertugas di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang sedang dialami sektor pendidikan ketika ini.

“Ketika ini elaun maksimum RM1,500 diterima oleh guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Kementerian akan memikirkan bentuk imbuhan baru untuk mereka.

“Contohnya, dalam tempoh 30 tahun berkhidmat, guru perlu pergi ke pedalaman dan begitu juga guru baru. Kerajaan akan memikirkan dorongan dalam bentuk baru untuk menggalakkan guru ke pedalaman,” katanya ketika ditemuramah dalam program temubual Agenda Awani, rancangan terbitan Astro, di sini malam tadi.

Muhyiddin juga berkata, sudah tiba masanya guru mengubah corak pemikiran dengan menganggap mereka adalah golongan yang bertanggungjawab menggalas tugas mendidik anak bangsa.

“Mengubah minda guru untuk menggalakkan mereka berkhidmat di kawasan yang jauh dari bandar adalah satu cabaran dan kekangan kepada kementerian ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan mensasarkan 87 peratus kanak-kanak memulakan sesi prasekolah atau kelas tadika seawal usia empat hingga enam tahun.

“Ketika ini jumlah kanak-kanak yang memasuki prasekolah ialah 67 peratus dan kementerian akan memastikan jumlah itu meningkat bagi melahirkan generasi pelapis yang berkualiti.

“Kita sangat menggalakkan pihak swasta untuk turut sama dengan kerajaan menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak. Kerajaan akan memberi imbuhan dan ganjaran kepada pihak swasta yang menyediakan kemudahan bilik darjah bagi tujuan prasekolah,” katanya.

Beliau juga berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum sekolah yang menekankan aspek penerokaan ilmu secara mendalam melalui pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata.

“Kita dapat lihat masalah berat badan berlebihan atau obesiti semakin ramai di kalangan murid. Dengan menekankan pentingnya sukan, saya berharap ia sedikit sebanyak mengelakkan masalah itu berlaku di kalangan anak kita,” katanya.

By Cikgu Hafiz

Guru tidak boleh kenakan hukuman fizikal


KUALA LUMPUR: “Tiada peraturan yang membolehkan guru mengenakan sebarang hukuman fizikal terhadap murid,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan SS 17 yang didakwa mencubit pipi dan lengan seorang murid Orang Kurang Upaya (OKU), Zulhilmi Hakim, 12, hingga meninggalkan kesan lebam.

Kejadian berkenaan disedari bapa mangsa, Ismail Humaidi Ahmat, 45, selepas menjemput anak kedua daripada tiga beradik itu dari sekolah, di Subang Jaya, jam 3 petang, Isnin lalu. Bagaimanapun katanya, hanya guru besar dan pengetua saja mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman fizikal terhadap murid seperti merotan tapi perlu mengikut peraturan tertentu.

“Walaupun mereka mempunyai kuasa berbuat demikian, ia haruslah mengikut kaedah disediakan semasa pelaksanaan hukuman seperti dengan dihadiri saksi, dalam keadaan tertutup dan melalui cara tertentu.

“Selain itu, dalam keadaan sekarang, sentuhan fizikal antara guru dan murid memang tidak dibenarkan sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak (guru dan murid terbabit) dan memaklumkan kepada guru besar sekolah itu supaya menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, jika laporan didapati tidak lengkap, saya akan meminta jemaah nazir sekolah menyediakannya. Perkara berkaitan anak-anak perlu dibincang antara kedua-dua pihak dan diharap ibu bapa tidak perlu bimbang kerana siasatan akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap guru berkenaan, Alimuddin berkata, keputusan hanya akan diketahui selepas siasatan terperinci dilaksanakan jawatan kuasa disiplin. Semalam, Harian Metro menyiarkan dakwaan murid OKU yang didera guru pendidikan Islam di sekolahnya hingga lebam di pipi dan kedua-dua lengannya. Zulhilmi yang menghidap ‘dyslexia’ turut mendakwa guru berkenaan akan mencubitnya apabila dia tidak dapat membaca dan ia berlaku sebelum cuti Tahun Baru Cina dan selepas sekolah dibuka selepas perayaan itu. Dia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri apabila ditanya kesan itu akhirnya mengakui kejadian berkenaan dilakukan ustaz di sekolahnya selepas dipujuk berulang kali oleh ibunya, Che Zaini Ahmad, 45.

Bagaimanapun, ketika ditanya guru yang dimaksudkan murid itu sehari selepas kejadian, dia menafikan perkara terbabit dan mendakwa Zulhilmi mungkin terjatuh ketika di rumah.

By Cikgu Hafiz

500 sekolah taraf lima bintang


PUTRAJAYA 12 Feb. – Kementerian Pelajaran menyasarkan 500 daripada 10,000 sekolah seluruh negara mencapai taraf sekolah lima bintang hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, penarafan itu berdasarkan Piawaian Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS) yang merupakan satu set piawaian bagi mengukur pencapaian sekolah dalam empat bidang iaitu penggunaan, modal insan, aplikasi dan infrastruktur.

“Pada tahun lalu 8,454 sekolah ditarafkan. Daripada bilangan ini, 7,575 sekolah berjaya ke tahap tiga hingga lima bintang,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Pembentangan Laporan dan Majlis Penghargaan bagi Program Sekolah Bestari Luar Bandar di Hotel Marriot di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Baldisham Ghazali.

Menurut Alimuddin, 35 sekolah luar bandar akan ditambah ke dalam Program Sekolah Bestari Luar Bandar pada fasa kedua tahun ini.

Beliau berkata, penambahan itu juga secara tidak langsung mempercepat proses pembestarian sekolah luar bandar yang sebelum ini bermula dengan 15 sekolah pada tahun lalu.

Katanya, program tersebut diguna pakai untuk pelaksanaan 88 sekolah bestari penanda aras yang disesuaikan untuk pelaksanaan sekolah luar bandar.

“Sekolah tersebut dipilih daripada kategori menengah harian, sekolah kebangsaan, sekolah teknik vokasional, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah pendidikan khas, sekolah Felda dan sekolah Orang Asli atau Penan.

“Sekolah luar yang dipilih juga perlu mempunyai kemudahan asas bekalan elektrik 24 jam, mempunyai infrastruktur asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti asas makmal komputer, Pusat Akses Sekolah dan mendapat kemudahan Schoolnet,” jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, sekolah tersebut sekurang-kurangnya perlu mencapai tahap penarafan tahap tiga bintang berdasarkan SQSS.

Ditanya mengenai pelbagai pelaksanaan label sekolah seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), sekolah kluster, sekolah berasrama penuh (SBP), beliau berkata perkara tersebut tidak membawa banyak perbezaan.

“Apa yang membezakan hanya program yang dikhususkan kepada sekolah tersebut sahaja.

“Pada dasarnya hanya terdapat tiga jenis sekolah asal iaitu sekolah bantuan penuh kerajaan, sekolah bantuan modal dan sekolah swasta sahaja,” katanya.

By Cikgu Hafiz