Sisipan Skor, Minda, Didik bantu mata pelajaran teras


PENGGUNAAN Akhbar Dalam Darjah (ADD) Berita Harian bukan saja memberi alternatif kepada guru dalam pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya banyak menyediakan maklumat tambahan yang boleh diaplikasi pelajar.

Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftar Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Saruchi Sawal berkata, akhbar Berita Harian menyediakan alternatif kepada guru melalui sisipan Didik, Minda dan Skor yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Malah, beliau yakin bahawa sebahagian guru turut mengakui sisipan berkenaan banyak membantu melalui teknik mengajar mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Saya berharap Berita Harian akan meneruskan usaha murni ini secara berterusan bukan hanya di Kuantan tetapi memperluaskannya ke daerah lain di negeri ini.

“Usaha yang dilakukan Berita Harian perlu dicontohi bagi membantu mempertingkatkan sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah sekali gus melahirkan pelajar yang cemerlang,” katanya yang merasmikan Bengkel ADD di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Kuantan, di sini, baru-baru ini. Saruchi mewakili Pengarah Jabatan Pelajaran, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Timbalan Pengarah KPTM, Mohd Zaidi Zakaria.

Bengkel setengah hari itu disertai 84 guru sekolah menengah dari seluruh negeri ini bertujuan memberi peluang kepada warga pendidik memahami dan mendapat penjelasan mengenai sisipan Didik, Minda dan Skor.

Saruchi berkata, bukan saja sisipan ADD yang mengandungi pelbagai bahan yang boleh dimanfaatkan guru dan pelajar tetapi kandungan beritanya juga boleh dijadikan bahan untuk menarik perhatian pelajar.

Terdahulu, Mior Kamarul dalam ucapannya berkata, akhbar Berita Harian diiktiraf Kementerian Pelajaran sebagai sebuah akhbar yang sentiasa mendokong isu pelajaran dan pendidikan.

Katanya, Berita Harian sentiasa memberi tumpuan kepada isu pelajaran, aspek kebajikan guru dan pelajar selain menjadikan agenda pendidikan sebagai fokus utama dalam memberi ilmu dan maklumat kepada semua golongan termasuk pelajar.

“Tumpuan ini dapat dilihat melalui pengeluaran sisipan Didik, Minda Pelajar, Skor dan terbaru Varsiti melengkapkan akhbar ini sebagai akhbar pelajar,” katanya.

By Cikgu Hafiz

Leave a comment